Monday 6 July 2020

Ulangkaji : Manusia

Salam wbt & selamat pagi anak-anak.
Hari ini cikgu akan mengulangkaji tajuk Manusia, dalam unit 3.

Masihkan anak-anak ingat aktiviti yang kita lakukan sewaktu memperlajari tajuk ini di kelas?
Antara aktiviti yang kita bincangkan ialah tentang tumbesaran.

Kita memahami bahawa tumbesaran rakan-rakan sekelas adalah berbeza.
Kita tekapkan tapak tangan kita dan rakan-rakan sekelas lalu membuat perbandingan.

Kita juga berbincang mengenai persamaan wajah kita dan ibu bapa kita.
Cikgu masih ingat dan ia menyeronokkan kerana semua murid mengambil bahagian.

Oleh itu, 
Di sini cikgu ingin berkongsi satu video tentang tajuk manusia sebagai ulangkaji kita pada hari ini.
Anak-anak dijemput untuk menonton sebelum menjawab soalan ya.


Selepas tamat menonton, anak-anak bolehlah mengukuhkan kefahaman dengan menjawab soalan yang diberikan. Mohon tuliskan markah masing-masing di ruangan komen ya.





Wednesday 24 June 2020

Ulangkaji : Peraturan Bilik Sains

Salam wbt
Anak-anak masih ingat tentang peraturan bilik Sains?
Mari kita ulangkaji!

 Jangan lupa untuk rekodkan markah nanti ya!

Wednesday 10 June 2020

Ulangkaji : Kemahiran Manipulatif

Salam wbt anak-anak.
Hari ini insyaALlah kita akan mengulangkaji tajuk yang telahpun kita pelajari di sekolah;
Iaitu kemahiran manipulatif.

Kemahiran ini amat penting dalam subjek Sains,
terutamanya apabila anak-anak menjalankan penyiasatan atau eksperimen.

Anak-anak akan banyak menggunakan mata dan tangan untuk menguasai kemahiran ini.
Di sini cikgu sertakan video yang mudah untuk kita mengulangkajinya.


.
 

Selepas menonton video ini, anak-anak dijemput untuk mengukuhkan kefahaman dengan menjawab soalan-soalan yang diberikan ya. Markah yang diperoleh bolehlah diletakkan di bahagian komen.


Wednesday 13 May 2020

Ulangkaji Kitar Hidup Haiwan

Salam wbt murid-murid,
Dua minggu lepas, cikgu ada memberikan nota tentang kitar hidup haiwan.

Hari ini,
Cikgu akan menerangkan dengan lebih lanjut tentang kitar hidup rama-rama hanya sebagai tambahan pengetahuan murid-murid, ya.


KITAR HIDUP RAMA – RAMA
Tahukah kamu???

Seekor rama-rama mampu mengeluarkan telur sebanyak 200 biji telur dalam jangka hayatnya…mm dasyatkan???
INFO SANTAI :
Rama –rama merupakan antara serangga yang mempunyai kitaran hidup lengkap sebagai seekor serangga.

Dalam proses kitar hidup yang dilaluinya , rama-rama melalui 4 proses/ peringkat.

Setiap peringkat yang ada adalah berbeza antara satu sama lain juga mempunyai tujuan yang berbeza.


Peringkat 1 : Telur

Pada peringkat pertama ini rama-rama yang telah matang dan melakukan persenyawaan akan menghasilkan telur seperti dalam rajah diatas.

Telur rama-rama sangat nipis ,kecil, berkilat kekuningan / keputihan dan ada juga yang berbentuk silinder. Pada permukaan telur kelihatan tulang-tulang halus.

Kebiasaannya telur-telur yang dihasilkan oleh rama-rama ini akan menempel pada daun atau dahan pokok.  Tahap ini juga boleh dikenali sebagai tahap perkembangan.



Peringkat 2 : Beluncas / Larva

Pada tahap ini telur yang menempel pada daun tadi telah matang dan pecah seterusnya menghasilkan beluncas.

Kebiasaanya beluncas panjang dan membentuk seperti badan rama-rama tetapi tidak mempunyai sayap.

Pada tahap ini ,ia dinamakan tahap perkembangan melalui pemakanan. Yang mana beluncas akan makan dan terus berkembang.

Beluncas juga mula ditumbuhi bulu-bulu halus dan corak tertentu mengikut spesisnya.

 Peringkat 3 : Kepompong / Pupa
 

Pada tahap ini transformasi akan berlaku

Ulat akan bertukar ke struktur serangga dewasa mula terbentuk.

Pada tahap ini beluncas akan berubah dan mengantungkan diri ke dalam kepompong

Meneruskan kehidupan sehingga ia matang dan keluar sebagai rama-rama.


                                        

Peringkat 4 : Rama-rama

Pada peringkat ini,rama-rama telah keluar dari kepompong sebagai rama-rama yang cantik

Mempunyai pelbagai warna dan bentuk antara satu sama lain.

Rama-rama yang matang akan bersenyawa,bertelur dan kitaran rama-rama yang seterusnya akan berlaku.

Menarik kan info tentang rama-rama ni?

Apapun, selepas ini murid-murid diminta menjawab kuiz Kitaran Hidup haiwan-haiwan lain juga sebagai pengukuhan ya. Mohon murid-murid menjawab soalan yang diberikan dan merekodkan markah yang murid-murid dapat ya.

Selamat berjaya!


Wednesday 6 May 2020

Bilangan Telur & Anak Haiwan



Tahukah anak-anak, terdapat haiwan yang bertelur banyak dan bertelur sedikit?
Antara contoh haiwan yang bertelur sedikit ialah burung manakala katak ialah haiwan yang bertelur banyak. 

 




Haiwan mamalia melahirkan anak-anaknya. Haiwan mamalia boleh dikenalpasti dengan mudah melalui cuping telinga mereka. Antara gajah dan kucing, yang manakah melahirkan lebih banyak anak? Anak-anak boleh membaca nota di bawah ini.







Berikut merupakan kuiz sebagai pengukuhan untuk tajuk ini.
Anak-anak diminta untuk menjawabnya dan menuliskan markah masing-masing di bahagian komen untuk rekod cikgu ya.

Selamat Berjaya!

Wednesday 29 April 2020

Kuiz Haiwan


Salam wbt anak-anak.
Pernahkan anak-anak melihat kitaran hidup katak?

Masa cikgu kecil dulu,
Cikgu selalu menangkap berudu dengan adik beradik cikgu di kelopak air di belakang rumah cikgu. Pada waktu itu, kawasan belakang rumah cikgu ialah tanah yang belum dibangunkan lagi.

Selalu kami tangkap,
dan kemudian melepaskannya semula.
Seronok tengok berudu berenang-renang dilopak air tersebut.

Lama-lama berudu tersebut tumbuh kaki menjadi anak katak,
Bermula daripada itu, cikgu dah mula rasa takut nak bermain berudu,
Sebab bentuknya sudah mula menakutkan :)
Abang cikgu pula pesan, tak lama lagi ia akan jadi katak dewasa yang akan melompat-lompat masuk dalam baju cikgu. Lagilah cikgu takut!

Haha.
kenangan sewaktu kecil.

Anyway,
di sini cikgu sertakan contoh kitaran haiwan bagi rama-rama dan katak.
Sebenarya kita telahpun belajar di musim persekolahan yang lalu.


Dunia Sains dan Teknologi (Belajar dengan Ceria): DST Tahun 2 ...


Dunia Sains dan Teknologi (Belajar dengan Ceria): DST Tahun 2 ...

Oleh itu, cikgu harap anak-anak dapat menjawab soalan yang diberikan ini.

Sila jawab di bawah dan apabila telah tamat dan mendapat markah,Anak-anak diminta untuk menulis nama, kelas dan jumlah markah di ruangan komen, ya.Terima kasih dan selamat maju jaya.

Wednesday 22 April 2020

Tumbuh-tumbuhan


Salam wbt anak-anak 2IBS dan 2IBB.
Cikgu harap semua sihat dan masih bertahan dan sabar dengan ujian.
Jadikan cuti PKP ini penuh dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat ya.

Maghrib nanti kita dah akan memasuki bulan yang mulia dan penuh barokah,
Ramadhan Kareem. Cikgu harap anak-anak cuba untuk jaga solat dan berpuasa ya. Jangan lupa bersolat terawih bersama keluarga ya,

InsyaAllah kita akan memasuki tajuk baru, tumbuh-tumbuhan.
Anak-anak juga boleh mula membaca buku teks m/s 49-60 sebagai rujukan.




Anak-anak,
Tumbuhan amat penting kepada kita.

ia menjadi sumber:

1. HABITAT untuk haiwan seperti monyet, burung, ulat untuk tinggal di pokok-pokok.
2. UDARA untuk manusia dan haiwan, iaitu oksigen.
3. UBAT untuk manusia dan haiwan, seperti pokok petai dan tunjuk langit.
4. MAKANAN untuk manusia dan haiwan seperti pokok pisang, padi dan ubi kayu.

Sementara cuti ini, anak-anak bolehlah memerhatikan tumbuh-tumbuhan yang ada di sekeliling rumah. Untuk itu, cikgu ada satu soalan untuk anak-anak;

Allah mencipta begitu banyak kegunaan bagi tumbuh-tumbuhan.
Jadi, sila nyatakan 2 kepentingan lain bagi tumbuh-tumbuhan. Anak-anak boleh bincangkannya bersama ibu dan bapa. 

Jawapan boleh ditulis di ruangan komen.
Jangan lupa untuk tuliskan nama dan kelas ya.
Terima kasih.